Maklumat am Gothik_Malam_Edan

Seperti dahulu kala, Amy kembali menyandang tugasnya sebagai penyanyi, Hillary sebagai pemain gitar, Nasir sebagai pemain gitar bes dan Yazid sebagai pemain dram; kali ini, diiringi oleh pemuzik undangan berikut: Firdaus Mahmud (strings & papan nada - "Lara Tari Pencinta", papan nada - "Menawan Raga"); Rudi Muhammad (piano - "Irama Marakas") serta penyanyi latar: Razif Hashim, Sharifah Sofia Syed Hussein dan Hassan Zakaria ("Memoria Anna"); Baby Akmal ("Gurindam Cinta Khayam"). Selain M. Nasir, Edrie Hashim turut menjadi penerbit bersama, dengan Search sendiri selaku penerbit eksekutif.

Album ini dirakam di Utusan Audio, Petaling Jaya dan Studio Ronggeng, Sungai Buloh, Selangor, diikuti kerja mastering di Mastering One. Sepatutnya album ini dikeluarkan selepas keluarnya EP Empire Garden yang memuatkan lagu "Ying & Yang", antara lainnya. Bagaimanapun, EP tersebut tidak dapat diterbitkan atas masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, semua lagu dalam EP ini dimuatkan juga dalam album ini. Album ini diedarkan oleh Life Records, iaitu label ketiga yang disertai oleh Search untuk merakam album studio sepanjang kerjayanya selepas Polygram Records dan BMG. Edisi terhad cetakan awal cakera padat album ini menyertakan sekali VCD "Di sebalik tabir album Gothik Malam Edan".